BERTONGKAT sunnah para Nabi
Tanpa disedari umur manusia semakin hari meningkat tua, namun masih lagi ada segolongan masyarakat Islam yang tidak menerima akan hakikat tersebut dengan tidak mengendahkan akan ajaran dan peraturan Islam. Para Nabi, dan sahabat dan seterusnya para salihin yang terdahulu, mereka semakin tua semakin kuat amalan dan ibadat mereka dengan mengikut sunnah para Nabi. Salah satu contoh sunnah yang mereka ikuti ialah bertongkat.
Jika dilihat dari segi pengertian bertongkat di mata masyarakat umum ianya cuma sekadar satu keperluan kerana keuzuran, mempertahankan diri daripada musuh dan kemalangan atau sekadar koleksi peribadi. Namun tidak semua orang mengetahui kaitan bertongkat dengan agama lebih-lebih lagi hubungannya dengan sunnah Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan akhlak para nabi-nabi terdahulu.
Para ulama ada menyebut, bahawa bertongkat adalah salah satu akhlak dan tatacara kehidupan para nabi Alaihimussalatu Wassalam, salihin dan ulama-ulama Islam zaman dahulu sepertimana berkata Ibn Abbas Radhiallahu Anhu yang bermaksud:
"Bertumpu kepada tongkat termasuk akhlak para Nabi, dan adalah Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam sendiri bertumpu kepada tongkat.".
Disebut dalam riwayat lain bahawa bertongkat juga adalah alamat orang yang beriman kerana meneladani sunnah para nabi, di samping dianggap sebagai penyelamat daripada binatang buas semasa dalam musafir jika tongkatnya berasal daripada kayu Luz. Sebagaimana hadis riwayat Ibn Abbas menyebutkan di dalam kitab As-Suyuti, (Al-Hawi), 289:
"Bertongkat adalah tanda orang beriman dan sunnah para nabi. Dan sesiapa yang keluar belayar jauh (musafir) dengan membawa bersama-nya tongkat dari kayu Luz pahit, dia diselamatkan Allah daripada segala binatang buas yang memudharatkan dan pencuci dosa".
Di dalam al-Quran sendiri juga jelas ada menyatakan bahawa para Nabi Alaihimussalatu Wassalam, memakai tongkat sama ada pemakaian dalam kehidupan seharian atau ketika sedang beribadat termasuklah Nabi Sulaiman dan Nabi Musa Alaihiwassalam.
Di antara ayat-ayat berkenaan ialah : (nas ayat)
"Dan ingatlah ketika Nabi Musa Alaihissalam memohon supaya diberikan air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu".
(Surah Al-Baqarah: 60)
Menurut beberapa hadis disebutkan bahawa Nabi kita Sallallahu 'Alaihi Wasallam juga memakai tongkat ketika berjalan atau ketika berkhutbah, sepertimana jelas disebut dalam sebuah hadis yang bermaksud:
"Daripada Abdul Rahman bin Sa’ad: Bahawa Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah apabila Baginda berkhutbah semasa dalam peperangan, Baginda memberikan khutbah sambil memegang busur anak panah, dan apabila berkhutbah dalam sembahyang Jumaat, Baginda menyampaikan khutbah sambil memegang tongkat".
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Dalam sebuah hadis yang lain :
"Daripada Abu Umamah, katanya: (Pada suatu waktu) Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam keluar menemui kami dengan bertumpu kepada tongkat (bertongkat), lalu kami pun berdiri menyambutnya. Kemudian Baginda berkata:"Jangan kamu berdiri sebagaimana orang-orang asing berdiri menghormati sesetengahnya akan sesetengah yang lain……"
(Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal)
Begitu juga para sahabat dan ulama-ulama lain, seperti Imam Syafi’e Radhiallahu ‘Anhu sepertimana dalam hadis yang panjang daripada Imam Ahmad Radhiallahu ‘Anhu dalam musnadnya menyebutkan tentang seorang sahabat yang bernama Abdullah bin Unais yang mendapat hadiah tongkat daripada Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam disimpannya tongkat tersebut sehinggalah beliau wafat dan ditanam bersamanya. Antara sahabat lain yang juga bertongkat ialah Jabir Radhiallahu ‘Anhu. Mengikut satu riwayat Imam Ahmad dalam musnadnya bahawa dalam peperangan Zat Ar-Riqa’. Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah meminta tongkat yang ada di tangan Jabir Radhiallahu ‘Anhu.
Diriwayatkan bahawa Imam Syafi’e Radhiallahu ‘Anhu setelah mencapai umur empat puluh tahun, beliaupun berjalan dengan tongkat sepotong kayu. Apabila ditanya sebab beliau berbuat demikian, beliau berkata:
"Biarlah aku senantiasa ingat bahawa aku ini kini sedang berjalan menuju ke akhirat".
Dalam riwayat yang lain :
"Sesiapa yang sampai umurnya empat puluh tahun, sedangkan dia tidak memakai tongkat, maka dikiralah baginya takbur (sombong) dan ‘ujub (bangga terhadap ibadah)."
Demikianlah beberapa bukti yang menunjukkan dengan bertongkat itu salah satu sunnah perjalanan hidup para nabi dan salihin.
Maka bertongkat adalah digalakkan dan sunat dilakukan, apalagi jika sudah mencapai usia empat puluh tahun sebagaimana hadis yang dinukilkan oleh Imam As-Suyuti tersebut
Baca juga: Nama-nama perawi hadits
Tidak ada komentar:
Posting Komentar